Azmin Mengamuk
BeritaSelangor
Berang dengan Pas, Azmin batal sewa penginapan
June 1, 2016
Oleh Najamuddin Mohd Nor
SHAH ALAM – Tindakan Pas degil untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar telah menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berang sehingga bertindak membatalkan sewaan penginapan untuk beliau dan jentera pilihan raya di Sungai Besar.
Menurut sumber, Mohemad Azmin yang merupakan Timbalan Presiden PKR bertindak sedemikian selepas kecewa apabila Pas tidak beralah untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan meletakkan calon untuk pertembungan dua penjuru dengan Barisan Nasional (BN) di PRK yang akan diadakan 18 Jun ini.
Bukan setakat soal penginapan, sumber tersebut turut mendedahkan Mohamed Azmin juga telah menarik balik peruntukan-peruntukan yang akan diagih-agihkan ketika berkempen nanti.
“Banyak program yang sepatutnya dihadiri Azmin di Sungai Besar dibatalkan angkara Pas meletakkan calon, ADUN Meru, Dr Rani Osman,” katanya.
Jumaat lalu, Pas telah mengubah calonnya di saat akhir, setelah mengetahui BN memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi bertanding pada PRK kali ini.
Kata sumber tersebut, meletakkan Dr Rani bertanding adalah strategi Pas untuk memujuk Parti Amanah Nasional (PAN) supaya tidak bertanding berikutan hubungan mesra bekas Pesuruhjaya Pas sSelangor itu dengan pimpinan tinggi parti tersebut.
“Azmin sudah bersedia dengan peruntukan membaiki surau dan masjid di seluruh Parlimen Sungai Besar, tapi semua peruntukan itu dah tak ada sekarang,” kata sumber tersebut kepada SelangorPost.
Dalam perkembangan lain, menurut sumber tersebut, Azmin yang semakin tertekan dengan situasi yang tidak memihaknya telah membatalkan pelancaran bas percuma di Kuala Selangor.
Menurutnya, Azmin juga telah mengarahkan untuk tidak membenarkan Exco Negeri daripada Pas mewakilinya dan merasmikan sebarang majlis dan program anjuran kerajaan negeri.
Sumber: beritaselangor
No comments