Analisis kedua - MAMPUKAH PAN MEMENANGI #PRKKUALAKANGSAR DAN #PRKSUNGAIBESAR?


infografik: Malaysiakini

Oleh: EKA

Kempen pilihan raya kecil Parlimen P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar telah 2 hari berlangsung selepas proses penamaan calon selesai pada 5 Jun 2016 lalu. Suasana kempen mungkin kelihatan tidak begitu meriah di Kuala Kangsar akibat ketiadaan calon yang tidak boleh berkempen mengikut hukum Islam.

Namun, di Sungai Besar, Budiman Zohdi, seperti biasa ‘berjalan-jalan’ ke sana ke mari bertemu dengan masyarakat setempat. Ini adalah kelaziman beliau semenjak diberikan mandat oleh pengundi DUN Sungai Panjang untuk menjadi wakil mereka di Dewan Undangan Negeri Selangor sejak 3 tahun lepas. Cuma kali ini, beliau yang lebih ‘manja’ digelar Waibee Budiman oleh penduduk setempat melebarkan perjalanannya ke DUN bersebelahan, Sekinchan.

Kita tinggalkan dahulu tentang kempen. Cuba kita analisakan peluang parti-parti bertanding untuk menang di kawasan Parlimen yang dikosongkan selepas penjawatnya meninggal dunia akibat kemalangan ngeri helikopter terhempas di Sebuyau, Seri Aman, Sarawak bulan lepas.

Di atas kertas kita akan lihat, kedua-dua kawasan ini adalah kawasan tradisi UMNO/BN yang memenanginya saban kali pilihanraya umum diadakan. Mengambil rekod semenjak 2004, Di Kuala Kangsar, BN/UMNO mendapat majoriti 5557, 1458 dan 1082 masing-masing pada 2004, 2008 dan 2013.

Manakala di Sungai Besar, penyandangnya Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon BN/UMNO memenanginya dengan majoriti 7349, 5009 dan 399 pada 2004, 2008 dan 2013.

Apa yang boleh kita baca dalam data mudah ini?

Majoriti semakin merosot saban kali pilihanraya! Maka terdapat kemungkinan pada kali ini, majoriti ini tidak dapat dikekalkan dalam keadaan positif apabila ia menjadi negatif atau bahasa mudahnya, BN/UMNO akan kalah dalam PRK kali ini.

Namun harus diingat senario politik semasa pada tahun-tahun tersebut perlu diambil kira:

·     2004 – Tahun Pak Lah. Aura Pak Lah sangat menyerlah sehingga BN memenangi PRU ini dengan 198 daripada 219 kerusi

·      2008 – Tahun Tsunami politik Malaysia. Pak Lah gagal mengekalkan persepsi rakyat terhadap beliau sehingga krisis kehilangan kepercayaan kepada Kerajaan. BN kehilangan Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang selain Kelantan yang telah lama ditadbir PAS. BN hanya berjaya memenangi 142 kerusi manakala pembangkang 82. Ini adalah keputusan paling teruk pernah diterima BN apabila majoriti 2/3 di Parlimen dinafikan. Pilihan raya ini juga dikatakan Tsunami politik Cina apabila kaum Cina didapati menolak parti Kerajaan.
·     
     2013 – Tahun pertama Perdana Menteri Najib Razak menghadapi pilihan raya sebagai Perdana Menteri. Namun ia gagal membangkitkan aura kemenangan. Malah BN kehilangan beberapa kerusi parlimen lagi walau berjaya merampas kembali Kedah dan (Perak) dalam pilihan raya ini. Pengundi Cina semakin berkurangan. Terdapat kajian yang mengatakan tidak lebih daripada 6% pengundi Cina mengundi BN. BN cuma memenangi 133 kerusi manakala pembangkang menambah 7 lagi kerusi menjadikannya 89 kerusi berbanding PRU yang lepas.

Maka apa signifikannya dengan kemenangan BN pada ketiga-tiga pilihanraya tersebut dengan penulisan ini? Penulis melihat, parti BN dan calonnya pada ketiga-tiga pilihan raya tersebut masih dapat mengekalkan kerusi walau dalam keadaan ribut tsunami menimpa. Ini membuktikan kekukuhan sokongan pengundi khasnya pengundi Melayu di kedua-dua kawasan ini kepada parti Kerajaan.

Justeru, kehadiran PAN yang sama-sama membentuk Pakatan Harapan selepas Mendiang Pakatan Rakyat mati tidak berkubur merupakan satu senario baru yang perlu diteliti.

Kemenangan atau kekalahan PAN pada pilihan raya kali ini akan memberi isyarat jelas kepada PAN dan Pakatan Harapan samada perkahwinan luar nikah mereka pada kali ini akan berjaya membuahkan hasil lebih baik daripada perkahwinan terdahulu.

Janda/Balu PAS yang diceraikan tanpa talak juga perlu muhasabah diri apabila mendepani cabaran pilihan raya kali ini. Rekod menunjukkan PAS semakin menambah undi daripada 5748 kepada 9277 seterusnya 13136 pada ketiga-tiga pilihan raya umum yang lepas di Kuala Kangsar.

Manakala di Sungai Besar pula, 7988 (2004) kepada 11060 (2008) dan 18296 (2013). Malah pada 2013, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon dan penyokongnya amat terkejut dengan kekuatan PAS sehingga mereka hampir kalah dengan majoriti hanya 399 undi yang diraih BN.

Walaupun begitu, ia hanyalah satu sejarah dan data di atas kertas. Perpisahan PAN daripada PAS seperti anak yang memberontak lari dari rumah dan cuba menumpang di rumah orang lain. Mungkin kejam jika penulis katakan, PAN hanya mampu untuk mendapat sedikit undi simpati penyokong PKR dan DAP namun tidak mungkin mendapat lebih daripada 10% undi penyokong PAS walaupun kata mereka, mereka berjaya membawa sebahagian besar penyokong PAS terutamanya yang profesional bersama mereka.

Maka adakah BN boleh tersenyum lebar dan selesa dengan senario ini?

Penulis merasakan sebenarnya BN juga berhadapan dengan keadaan tegang dalam mendepani cabaran kali ini. Mungkin perkara ini akan dikupas dalam penulisan akan datang… tunggu…. ;)

Analisis Pertama sila klik
Analisis kedua - MAMPUKAH PAN MEMENANGI #PRKKUALAKANGSAR DAN #PRKSUNGAIBESAR? Analisis kedua - MAMPUKAH PAN MEMENANGI #PRKKUALAKANGSAR DAN #PRKSUNGAIBESAR? Reviewed by CheritaMalaysia on 7:18 PM Rating: 5

No comments