Analisis Awal PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar



#PRKSungaiBesar Dan #PRKKualaKangsar – ANALISIS AWAL

Oleh: EKA

Pilihanraya kecil P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar secara rasmi sudah bermula semalam. 4 penjuru di Kuala Kangsar dan 3 penjuru di Sungai Besar. Apa yang menarik, parti penyandang kedua-dua kerusi tersebut, BN terpaksa berhadapan dengan 2 parti ‘Islam’ iaitu PAS dan PAN di bulan Ramadan yang mulia ini.

Di Sungai Besar, calon BN ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi berhadapan dengan Dr Abdul Rani Osman (PAS) yang juga ADUN Meru dengan seorang lagi calon Azhar Abdul Shukur (PAN) seorang peniaga berasaskan produk agama (EZ Qurban).

Manakala di Kuala Kangsar, Datin Mastura menentang Dr. Najihatussalehah Ahmad (Pas), Dr. Ahmad Termizi Ramli (PAN) dan seorang bekas pensyarah, Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Pertembungan BN-PAS adalah satu pertembungan biasa. Namun apabila PAN mula memunculkan diri dalam pertandingan ini, ia mula menjadi luar biasa dan membuka mata banyak pihak.

Seperti yang kita ketahui, PAN adalah parti serpihan PAS. Parti yang ditubuhkan oleh segolongan pemimpin PAS yang kebanyakannya tewas dalam pemilihan parti itu, kononnya membawa aspirasi golongan profesional yang mahu membawa PAS keluar dari kepompong agama yang ortodok apabila dipimpin oleh golongan Ulama.

Tokoh-tokohnya bukan sembarang. Dipimpin Mat Sabu sebagai presiden dengan nama-nama besar seperti Ustaz Ahmad Awang, Salahuddin Ayub, Mujahid Yusuf, Hatta Ramli, Khalid Samad, Nizar Jamaludin dan beberapa lagi nama besar, ia dilihat bukan ‘kecil anak’.

Namun persoalannya, mampukah parti ini ‘mencuri’ penyokong tradisi PAS yang kita ketahui sangat tegar dan fanatik kepada parti tersebut. Malah penulis pernah membuat kajian tentang popular vote, undi popular PAS tidak pernah berkurang secara drastik semenjak 1986 kecuali pada tahun 2004 apabila berhadapan dengan Aura Pak Lah yang gagal dikekang. Itupun undi popular PAS tidaklah hilang terlalu banyak berbanding parti lain. Ini tidak menghairankan kerana PAS sememangnya mempunyai penyokong yang setia.

Justeru kenyataan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Naib Presiden PAS sangat signifikan apabila mengatakan DAP tidak akan dapat undi Melayu. Ini juga mungkin boleh terpakai dalam situasi PAN yang amat rapat dan mesra dengan DAP menentang PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Jadi apakah BN akan menang mudah dalam pilihan raya kali ini?

Banyak analisis yang penulis baca sebelum penamaan calon yang mengatakan jika PAN bertanding menentang PAS, maka BN akan mendapat kemenangan mudah akibat perpecahan undi tersebut.

Namun persoalannya adakah benar undi akan berpecah? Parti manakah yang akan pecah undinya?

Banyak faktor yang perlu diteliti sebelum kita membuat andaian dan keputusan.

Penulis berpendapat walaupun nampak mudah di Sungai Besar, namun BN tidak boleh hanya mengharapkan tuah Budiman semata-mata. Jentera perlu kuat dan teratur. Sungai Besar mungkin di dalam peta agak jauh dari kawasan bandar yang menjadi kawasan ‘hanya mimpi’ untuk BN menang kembali. Namun demografi peta mungkin kita boleh lupakan selepas lanskap komunikasi berubah dengan adanya teknologi terkini penyampaian maklumat. Malah dari segi jarak perjalanan, Sungai Besar yang 7 tahun lalu perlu mengambil 2 jam lebih perjalanan berkereta dari Shah Alam kini hanya satu jam lebih untuk sampai ke sana.

Begitu juga dengan Kuala Kangsar. Isu Edah calon yang walaupun nampak remeh, tetapi ia memberikan kesan signifikan kepada pengundi khasnya ahli parti. Setakat ini tidak kelihatan protes secara terbuka dalam kalangan pengundi tempatan. Namun kita wajar mengambil kira ‘silent voters’ yang melihat ramai juga calon lain yang mampu menggalas tugasan ini. Apatah lagi ketidakmampuan calon untuk berkempen secara nyata bersama pengundi mungkin dilihat satu kelemahan.

Namun apapun, penulis berpendapat, pilihan raya kecil kali ini sangat menarik. Selepas kemenangan ‘handsome’ BN di Sarawak yang dikatakan tidak menggambarkan keadaan sebenar sokongan rakyat kepada Kerajaan BN yang ditunjangi UMNO, kedua-dua pilihan raya kecil kali ini akan menjadi kayu ukur BN/UMNO kearah PRU-14. Ia juga menjadi pilihanraya hidup-mati PAN yang merasakan mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Apapun kita lihatlah nanti keputusannya. Yang penting demokrasi berparlimen negara tercinta ini perlu disemarakkan dengan sikap toleransi dan berpolitik secara matang.

Selamat Berpuasa.

EKA





Analisis Awal PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar Analisis Awal PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar Reviewed by CheritaMalaysia on 2:15 PM Rating: 5

No comments