Kanak-kanak 6 Tahun Sah Dijangkiti Virus JE


Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun disahkan dijangkiti virus Japanese Encephalitis (JE).

Kanak-kanak itu ketika ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban, dan menerima rawatan di HTJ sejak 20 Mei lalu. 

Kanak-kanak itu yang dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah pada 18 Mei lalu, dipindahkan ke HTJ kerana keadaan yang semakin kritikal. 

"Keputusan ujian darah mendapati kanak-kanak itu positif JE dan kita akan meneruskan pemantauan terhadapnya," kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah.

Setakat ini tiada bukti menunjukkan semua tiga kes JE yang berlaku di Negeri Sembilan sejak Januari lalu, mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Info virus JE

Cara jangkitan: 
  • Virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala  yang dijangkiti virus JE.  
  • Khinzir dan pelbagai burung liar akan dijangkiti penyakit JE terlebih dahulu sebelum virus JE menjangkiti  manusia melalui gigitan nyamuk.
  • Manusia tidak dianggap sebagai perumah untuk penyebaran virus dan jangkitan daripada manusia ke manusia tidak pernah didokumenkan.

Tanda dan gejala:

  • Kebanyakan jangkitan JE tidak menunjukkan tanda dan gejala (asimtomatik).
  • Gejala yang biasa adalah demam, sakit kepala, loya dan muntah.
  • Perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan muncul selepas beberapa hari. 
  • Sawan berlaku dalam 66% kes dan paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

Komplikasi:

  • Kesan daripada gejala penyakit ini boleh menjadi serius termasuklah kecacatan otak dan kematian. 
  • Kadar kematian adalah sehingga 60% untuk pesakit yang menunjukkan gejala manakala lebih kurang 30% pesakit akan mengalami kerosakan pada sistem saraf pusat.

Pencegahan:

  • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk dan lakukan pemeriksaan 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan persekitaran kita bebas daripada pembiakan nyamuk.
  • Kurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk terutamanya di lokaliti bermasalah penyakit JE.
  • Gunakan ubat penjauh serangga (‘insect repellant’) pada kulit yang terdedah berdasarkan panduan yang diberikan oleh syarikat pengeluar untuk aktiviti luar terutama di waktu senja hingga subuh.
  • Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang. Cuba elakkan memakai pakaian berwarna gelap (kerana warna gelap akan menarik perhatian nyamuk).
  • Tutup tingkap atau bidai apabila berada dalam bangunan. Gunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk.

Kanak-kanak 6 Tahun Sah Dijangkiti Virus JE Kanak-kanak 6 Tahun Sah Dijangkiti Virus JE Reviewed by CheritaMalaysia on 9:11 PM Rating: 5

No comments